Rabu, 15 Mei 2013



Assalamualaikum wm..wbt..  dan  salam sejahtera..

Yang dihormati,

          Para pembaca blog sekelian

Saya ingin melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru tahun ini.  Semoga hari yang penuh bermakna bagi warga pendidik di setiap ceruk sekolah disambut dalam suasana yang ceria, harmoni dan menyeronokkan.

       Saya ingin mengambil kesempatan dan peluang pada hari ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru dan Terima kasih Cikgu buat semua guru. Guru-guru  dilihat  begitu dedikasi, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Mereka telah mendidik, mengajar, membimbing malah turut mengasuh murid-murid agar menjadi insan yang harmonis.

Bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu Guru Malaysia: 1 aspirasi, 1 agenda, peranan guru dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara harus bergerak seiring dengan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak ibarat kain putih yang bersih maka sememangnya ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Namun,  ibu bapa turut meletakkan harapan yang tinggi agar anak-anak mereka  turut memiliki sahsiah yang sempurna semasa di sekolah.

Kerana apa? Kerana di sekolahlah, anak-anak ini berpeluang untuk mengembangkan bakat, kebolehan, kecenderungan, mengeluarkan pendapat, berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya. Peluang tersebut tidak mereka miliki semasa mereka berada di rumah atau bersama keluarga. Lebih-lebih lagi apabila para guru dijadikan  sebagai  role model kepada keberkesanan pendidikan untuk murid-murid di sekolah dan masyarakat

Selaku Tuan Tanah, saya turut merasakan betapa pentingnya sambutan hari guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sambutan hari guru ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa Malaysia. Justeru, wajarlah bagi murid-murid, ibu bapa dan masyarakat meraikan sambutan hari guru . Inilah cara yang terbaik untuk melahirkan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa insan yang tidak ternilai yang bernama guru.

Kepada semua murid yang saya kasihi sekalian, hargailah jasa para guru.

Setiap insan di dunia ini belajar daripada seorang guru. Tanpa guru kita tidak akan boleh membaca, menulis dan menguasai ilmu. Guru ibarat lampu yang menerangi kegelapan malam. Guru ialah insan yang mesti kita hormati selepas ibu bapa kita. Menghormati dan mematuhi arahan guru adalah sangat dituntut agar apa yang kita pelajari menjadi berkat dan dirahmati Illahi.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca-melukis-mengira.

Kepada semua para pendidik, jasa, bakti dan pengorbanan yang cikgu berikan amat dihargai dan disanjung tinggi. Sama-samalah kita memanjatkan doa agar semua guru di bumi ini diberi kekuatan, kegigihan  dan kesihatan agar dapat  melaksanakan tugas yang mulia ini.

Kalau tinggi Gunung Everest, tinggi lagi budimu, cikgu.
Kalau dalam lautan Atlantik, dalam lagi jasamu, cikgu.
Kalau harum bau kasturi, harum lagi pengorbananmu, cikgu.
Terima kasih cikgu,


Sebagai mengakhiri kata-kata, dengan lafaz
saya dengan ini MERASMIKAN majlis sambutan hari guru Blog Sifooden bagi tahun 2013.

Sekian, wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam........
 



Kalau kito ingat kat ore, ore ingat kat kito. Sebab tu dio mari cari kito..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...